Monday, November 15, 2010

Pekak Dianggap Bisu?

Seringkali sesetengah orang berkata golongan pekak sebagai bisu. Tanggapan mereka adalah salah. Terdapat pelbagai kategori dalam Orang Kelainan Upaya/Orang Kurang Upaya (OKU), iaitu bermasalah pendengaran, bermasalah pertuturan, bermasalah penglihatan, bermasalah fizikal, bermasalah pembelajaran, bermasalah mental, dan bermasalah pelbagai (Multiple Disabilities).

Maka, maksud bagi kecacatan bermasalah pendengaran dan bermasalah pertuturan tidaklah sama. Bermasalah pendengaran/pekak bermaksud tidak boleh mendengar dengan baik/jelas atau tidak mendengar langsung manakala bermasalah pertuturan/bisu bermaksud tidak boleh bertutur sehingga timbulnya masalah komunikasi yang sempurna seperti tiada suara yang keluar dari pita suara.

Rumusannya, golongan pekak bukanlah golongan bisu dan golongan bisu bukanlah golongan pekak. Sekiranya terdapat golongan yang pekak dan bisu sekaligus, bilangannya tidaklah ramai.

Sesetengah golongan pekak amat sensitif apabila mereka disangka sebagai orang bisu. Namun mereka mungkin tidak memahami keadaan yang sebenar. Kemungkinan kebanyakan orang menyangka golongan pekak ialah orang bisu kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan am tentang perbezaan anatara kedua-dua golongan ini. Namun tidak boleh dinafikan bahawa terdapat orang yang mengetahui tentangnya.

Selain itu, orang ramai mungkin menyangka golongan pekak merupakan orang yang bisu kerana tidaklah semua golongan pekak dapat bertutur dengan baik. Masalah ini adalah disebabkan kurangnya latihan pertuturan sama ada dari pihak guru dan ibu bapa. Sedangpun golongan pekak sebenarnya mempunyai peluang untuk bertutur dengan lancar walaupun tak dapat mendengar dengan baik sekiranya menerima latihan secara berterusan.

Kesimpulannya, kita tidak boleh menyalahkan orang yang membuat tanggapan tersebut sepenuhnya. Pendek kata, tiada seorang pun yang bersalah bagi masalah ini sama ada golongan OKU atau golongan bukan OKU. Langkah terbaik ialah memberikan ilmu pengetahuan am tentang golongan ini melalui media massa, kempen atau pelajaran.

Maklumat tentang penulis blog ini : Penulis ialah seorang yang bermasalah pendengaran dan tidak dapat bertutur langsung kerana berhenti menerima latihan penuturan daripada guru ketika saya kecil lagi. Namun ia tidak bermaksud penulis juga seorang yang bermasalah penuturan kerana masih mempunyai suara. Malah dalam kad pengenalan OKU penulis hanya dilabelkan bermasalah pendengaran sahaja.


Tuesday, November 2, 2010

Bahasa Isyarat

Bahasa isyarat ialah bahasa komunikasi dalam kalangan golongan bermasalah pendengaran. Golongan yang bukan pekak turut menggunakan bahasa isyarat dalam kehidupan masing-masing tanpa pengetahuan mereka. Hal ini terbukti apabila kita banyak menggerakkan tangan ketika bertutur misalnya makan, minum, panas dan sebagainya isyarat yang lazimnya ditunjukkan dalam kehidupan. Ini boleh juga dikenali sebagai bahasa badan.

Terdapat beberapa bahasa isyarat yang digunakan oleh golongan pekak di Malaysia.

1. Kod Tangan Bahasa Malaysia (KTBM)

KTBM bukanlah bahasa isyarat umum dan biasanya digunakan di sekolah-sekolah. KTBM ini diwujudkan menurut asas-asas dan tatabahasa serta prinsip-prinsip Bahasa Malaysia supaya difahami oleh rakyat Malaysia. Namun, penggunaan KTBM mempunyai kesan positif dan negatif. Positifnya, KTBM ini dapat mengajar golongan pekak tentang penggunaan struktur Bahasa Malaysia. Manakala negatifnya, KTBM memperlambat perkembangan dalam komunikasi mereka kerana terdapat banyak imbuhan dan struktur yang memberikan kekeliruan kepada mereka.

2. Bahasa Isyarat Malaysia (BIM @ MySL)

BIM barulah bahasa isyarat umum yang selalunya digunakan oleh golongan pekak di Malaysia. BIM diakui sebagai bahasa ibunda yang senang dan digunakan secara meluas. BIM membolehkan golongan pekak berkomunikasi dengan baik serta memahami apa yang diperkatakan. Namun, BIM juga mempunyai masalah kerana BIM tidak sama dengan bahasa yang biasanya digunakan oleh kebanyakan orang dan sering memendekkan ayat tanpa imbuhan, kata sendi dan sebagainya. 

Contoh ayat : Saya pergi ke rumah Ali.

Ayat dalam BIM : Saya pergi rumah Ali. 

Contoh ini menunjukkan ayat dalam BIM tiada kata sendi 'ke-'.

3. Bahasa Isyarat Amerika (America Sign Language - ASL)

ASL merupakan bahasa isyarat yang digunakan dalam kalangan golongan pekak di negara Amerika. Di Malaysia, ASL digunakan untuk mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris. Biasanya golongan pekak yang menggunakan ASL lebih berfasih bahasa Inggeris. ASL hampir mempunyai persamaan dengan BIM namun caranya berbeza. Berbanding dengan BIM, ASL lebih maju kerana mempunyai struktur perbendaharaan dan tatabahasa yang kukuh.

4. Pertuturan Kiu

Pertuturan kiu hanya digunakan oleh sesetengah golongan pekak terutamanya di Kuala Lumpur kerana tidak disebarkan secara meluas. Pertuturan kiu merupakan terapi yang membolehkan golongan pekak bertutur/bercakap dengan bantuan kod kiu. Golongan pekak yang menggunakan pertuturan kiu mampu bercakap seperti orang normal.




Sebelum mempelajari bahasa isyarat, eloklah belajar mengeja kod huruf-huruf A - Z terlebih dahulu. Dengan ada kemahiran ini, kita dapat berkomunikasi dengan golongan pekak walaupun tak fasih dalam menggunakan bahasa isyarat mereka. Hanya mengeja kod huruf atau menggunakan bahasa isyarat yang mudah, mereka boleh faham sikit apa yang diperkatakan oleh anda. Setelah mahir, barulah anda boleh belajar bahasa isyarat sepenuhnya.

Selamat berjaya!


Saturday, October 23, 2010

Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran merujuk kepada golongan yang tidak boleh mendengar langsung walaupun memakai alat bantuan pendengaran atau tidak boleh mendengar dengan jelas tanpa memakai alat bantuan pendengaran.

Antara maksud yang lain ialah kurang pendengaran, tuli, tuna, congek, berat telinga, dan sebagainya.

Terdapat empat (4) tahap yang boleh dikategorikan sebagai golongan bermasalah pendengaran, iaitu :

~ Minimum - (15 - <30 dB) bagi kanak-kanak dan (-20 - <30 dB) bagi orang dewasa
~ Sederhana - (30 - <60 dB)
~ Teruk - (60 - <90 dB)
~ Sangat teruk - (>90 dB)

Kedua-dua kecacatan ini berpunca daripada kelahiran, penyakit dan kemalangan. Bagi masalah pekak, puncanya ialah kerosakan pada bahagaian gegendang telinga.

Terdapat dua jenis golongan bermasalah pendengaran ini, iaitu golong yang tidak boleh mendengar sahaja dan golongan yang tidak boleh mendengar dan bertutur sekali.