Bahasa isyarat ialah bahasa komunikasi dalam kalangan golongan bermasalah pendengaran. Golongan yang bukan pekak turut menggunakan bahasa isyarat dalam kehidupan masing-masing tanpa pengetahuan mereka. Hal ini terbukti apabila kita banyak menggerakkan tangan ketika bertutur misalnya makan, minum, panas dan sebagainya isyarat yang lazimnya ditunjukkan dalam kehidupan. Ini boleh juga dikenali sebagai bahasa badan.
Terdapat beberapa bahasa isyarat yang digunakan oleh golongan pekak di Malaysia.
1. Kod Tangan Bahasa Malaysia (KTBM)
KTBM bukanlah bahasa isyarat umum dan biasanya digunakan di sekolah-sekolah. KTBM ini diwujudkan menurut asas-asas dan tatabahasa serta prinsip-prinsip Bahasa Malaysia supaya difahami oleh rakyat Malaysia. Namun, penggunaan KTBM mempunyai kesan positif dan negatif. Positifnya, KTBM ini dapat mengajar golongan pekak tentang penggunaan struktur Bahasa Malaysia. Manakala negatifnya, KTBM memperlambat perkembangan dalam komunikasi mereka kerana terdapat banyak imbuhan dan struktur yang memberikan kekeliruan kepada mereka.
2. Bahasa Isyarat Malaysia (BIM @ MySL)
BIM barulah bahasa isyarat umum yang selalunya digunakan oleh golongan pekak di Malaysia. BIM diakui sebagai bahasa ibunda yang senang dan digunakan secara meluas. BIM membolehkan golongan pekak berkomunikasi dengan baik serta memahami apa yang diperkatakan. Namun, BIM juga mempunyai masalah kerana BIM tidak sama dengan bahasa yang biasanya digunakan oleh kebanyakan orang dan sering memendekkan ayat tanpa imbuhan, kata sendi dan sebagainya.
Contoh ayat : Saya pergi ke rumah Ali.
Ayat dalam BIM : Saya pergi rumah Ali.
Contoh ini menunjukkan ayat dalam BIM tiada kata sendi 'ke-'.
3. Bahasa Isyarat Amerika (America Sign Language - ASL)
ASL merupakan bahasa isyarat yang digunakan dalam kalangan golongan pekak di negara Amerika. Di Malaysia, ASL digunakan untuk mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris. Biasanya golongan pekak yang menggunakan ASL lebih berfasih bahasa Inggeris. ASL hampir mempunyai persamaan dengan BIM namun caranya berbeza. Berbanding dengan BIM, ASL lebih maju kerana mempunyai struktur perbendaharaan dan tatabahasa yang kukuh.
4. Pertuturan Kiu
Pertuturan kiu hanya digunakan oleh sesetengah golongan pekak terutamanya di Kuala Lumpur kerana tidak disebarkan secara meluas. Pertuturan kiu merupakan terapi yang membolehkan golongan pekak bertutur/bercakap dengan bantuan kod kiu. Golongan pekak yang menggunakan pertuturan kiu mampu bercakap seperti orang normal.
Sebelum mempelajari bahasa isyarat, eloklah belajar mengeja kod huruf-huruf A - Z terlebih dahulu. Dengan ada kemahiran ini, kita dapat berkomunikasi dengan golongan pekak walaupun tak fasih dalam menggunakan bahasa isyarat mereka. Hanya mengeja kod huruf atau menggunakan bahasa isyarat yang mudah, mereka boleh faham sikit apa yang diperkatakan oleh anda. Setelah mahir, barulah anda boleh belajar bahasa isyarat sepenuhnya.
Selamat berjaya!
No comments:
Post a Comment